MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI USIM

NILAI, 4 Julai 2018 – Kemeriahan bulan Syawal dengan penganjuran Majlis Hari Raya dan Rumah Terbuka sebagai platform untuk mengeratkan silaturrahim turut dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Rabu. Bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1439H peringkat universiti menerima hampir 3000 tetamu yang bertandang ke majlis ini.

Majlis yang bermula pada jam 10.00 pagi ini adalah anjuran bersama Badan Kebajikan Kakitangan (BKK) USIM, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), Persatuan Kakitangan Akademik (PKAUSIM) dan Kesatuan Kakitangan Sokongan (KUSIMA). Sebanyak 25 gerai dengan 50 juadah bertemakan makanan tradisi Hari Raya, menu Barat dan Timur Tengah serta kuih-muih.

“Gerai-gerai yang disediakan ini menyajikan menu yang berbeza dan diterajui oleh pelbagai jabatan-jabatan yang ada di USIM. Setiap tahun sememangnya setiap jabatan kita pastikan akan berpeluang menyajikan menu yang berbeza dari tahun sebelumnya kerana disitu nanti kita akan dapat rasai keunikan rasa dan persembahan hiasan gerai yang mereka tonjolkan”.

“Saya melahirkan rasa bangga dengan inisiatif kakitangan setiap jabatan ini yang bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan juadah, tapi turut mempersiapkan gerai mereka dengan hiasan yang menarik kerana kita turut menyediakan anugerah khas untuk gerai-gerai ini” ujar Encik Muin Yahya selaku Pengerusi BKK USIM.

Antara juadah tradisi yang disediakan adalah lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, murtabak, roti jala, laksa dan mi kari. Menu istimewa yang mendapat sambutan ialah Nasi Arab, shawarma, kebab, pizza dan spageti.

Turut berkunjung memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya USIM ini adalah rakan-rakan strategik universiti terdiri dari pihak industri, media, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat. Kehadiran mereka ini secara langsung mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin dan ini turut diakui oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad yang turut meraikan tetamu di majlis ini.

“Saya berpeluang untuk melawat setiap gerai yang terdapat di sini dan amat memuji kesungguhan para kakitangan menjadikan majlis hari ini bermakna. Saya turut gembira kerana dapat melihat nyanyian marhaban dari anak-anak kecil Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum Cawangan Nilai yang dipersembahkan kepada para tetamu yang hadir. Ini kelainan baharu yang ditonjolkan oleh peganjur pada tahun ini” katanya.

Pada majlis ini turut disampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri lalu disamping penyampaian hadiah untuk pertandingan Gerai Kelestarian Alam (Go-Green); Gerai Inovatif dan Kreatif; dan Gerai Popular dan Ceria. Turut diadakan adalah pameran gerai jualan di lobi dewan dan cabutan bertuah.  Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengurusan Kanan Universiti dengan majlis berakhir sekitar jam satu tengah hari.

 

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

 Jabatan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-7988109, Faks: +606-7988056, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my