SEMINAR MEDIA SOSIAL DI IPT: IMPLIKASI DARI SUDUT PERUNDANGAN

 

NILAI, 27 Oktober 2016 - Laman media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Twitter, Snapchat, WhatsApp dan banyak lagi sudah tidak asing lagi dalam masyarakat sekarang baik dari kalangan orang dewasa, remaja, kanak-kanak mahupun warga emas. Kewujudan pelbagai platform media sosial walaupun tidak dinafikan telah memberi impak positif, namun implikasi negatif yang timbul juga tidak harus dipandang ringan. Antara implikasi negatif yang ketara adalah apabila laman sosial ini disalahgunakan dengan penulisan-penulisan tidak berasas yang boleh mencetuskan isu sensitif atau mencemarkan nama baik/peribadi seseorang individu atau sesebuah organisasi. Sebagai pusat pendidikan tinggi yang mengendalikan ribuan pelajar dan kakitangan, Universiti tidak terlepas dari permasalahan ini. Justeru, Universiti perlu mempunyai strategi dan kawalan yang efisien agar masalah ini dapat dibendung.

Justeru itu, Jabatan Undang-Undang mengambil inisiatif menganjurkan seminar ini. Selain dapat memastikan knowledge transfer berlaku di kalangan Universiti Awam, seminar ini juga diadakan sebagai aktiviti penjanaan pendapatan Universiti. Berikut adalah objektif kepada penganjuran seminar ini:-

  • Memberi kefahaman mengenai peruntukan undang-undang berkaitan media sosial dan penguatkuasaannya.
  • Memberi kefahaman mengenai liabiliti universiti di dalam menangani isu media sosial yang ditimbulkan oleh pelajar atau kakitangan.
  • Memberi kefahaman mengenai hak privasi pelajar dan kakitangan di dalam penggunaan media sosial dan had penggunaannya.
  • Memberi pendedahan tentang teknik siasatan, pengumpulan bukti bagi tindakan tatatertib serta kes-kes mahkamah (pendakwaan/pembelaan) yang melibatkan penyalahgunaan media sosial.
  • Memberi cadangan tentang pembangunan strategi/dasar bagi menangani pemasalahan media sosial di dalam organisasi.
  • Memberi cadangan tentang tindakan / SOP yang perlu diambil oleh Universiti apabila penulisan negatif disiarkan di media sosial.

Seminar ini telah disertai oleh 35 orang pegawai dari pelbagai Universiti Awam antaranya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Univeriti Utara Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah serta pegawai dari USIM.

Penceramah yang telah dijemput untuk memberikan taklimat adalah Puan Wan Sabariah binti Yusof,  Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Beliau memberi penerangan antara lainnya, topik berkaitan peranan SKMM, jenayah siber & media sosial, akta yang mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia serta isu-isu berkaitan keselamatan.

Penceramah kedua adalah Tuan Wan Shaharudin bin Wan Ladin. Beliau merupakan Timbalan Pendakwaraya di Unit Perbicaraan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara. Beliau telah berkongsi  antara lainnya mengenai garis panduan pertuduhan kesalahan jenayah komputer/siber serta peruntukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948. Disamping itu, beliau turut berkongsi pengalaman beliau sebagai Timbalan Pendakwaraya dalam mengendalikan kes-kes yang melibatkan jenayah siber.

Disediakan oleh:
NORDIANA NORDIN 
Jabatan Undang-Undang

Jurugambar:
EN. AHMAD ADIB JUMHURI
Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm)

 Jabatan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-7988109, Faks: +606-7988056, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my