PENDAFTAR USIM TERIMA DARJAH SETIA BAKTI NEGERI SEMBILAN

//PENDAFTAR USIM TERIMA DARJAH SETIA BAKTI NEGERI SEMBILAN

NILAI, 15 Januari 2019 – Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) yang membawa gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan ke-71 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir semalam.

Setelah hampir sedekad berkhidmat sebagai Pendaftar USIM, penganugerahan ini sangat relevan dengan sikap dedikasi dan komitmen beliau terhadap kerjaya memandangkan beliau antara pengasas kepada penubuhan USIM (dahulunya ialah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Menyingkap latar belakang kerjaya, beliau memulakan kerjaya sebagai Perunding Cara Pelajar di UKM pada tahun 1993. Pada tahun 1997, beliau memulakan pengajian di peringkat Sarjana Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Psikologi manakala pada tahun 2000, beliau bersama-sama pimpinan awal pada masa itu menubuhkan USIM (pada masa itu, KUIM) memulakan operasi awal seperti pemantapan governan dan pembangunan fizikal. Pada tahun 2002 beliau dilantik sebagai Timbalan Pendaftar USIM seterusnya sebagai Pendaftar USIM bermula tahun 2009.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban juga merupakan alumni Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di peringkat Diploma kemudian di peringkat Ijazah Sarjana Muda beliau menyambung pengajian dalam bidang Psikologi di UKM.

Kini, beliau merupakan Setiausaha Lembaga Pengarah USIM, Komandan Kor Siswa Bomba USIM dan Ahli Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Universiti Awam. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah USIM Tijarah Holding, Penyelaras Pembangunan Sahsiah Pelajar Malaysia di Timur Tengah dan Pengerusi Badan Kebajikan Kakitangan USIM.

Atas kepercayaan yang diberikan oleh Pengurusan Universiti, beliau menginfaqkan hampir seluruh masa kepada kesejahteraan organisasi dan mendepani segala kepayahan, kerenah dan cabaran untuk membawa perubahan demi faedah bersama.  Lalu, antara pencapaian lain adalah beliau pernah menerima pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S) pada tahun 2007, Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada tahun 2011 serta Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T) pada tahun 2013.

Pada majlis yang sama, turut menerima anugerah ialah Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan merangkap mantan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM menerima anugerah Darjah Setia Negeri Sembilan (D.N.S) dan Puan Noor Ashikin Musbah, Setiausaha di Pejabat Naib Canselor menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.). Antara lain, Ahli Lembaga Pengarah USIM, Dr Razali Ab Malik juga menerima Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan yang membawa gelaran Dato’.

Seluruh warga USIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah pada tahun ini dan semoga lebih bermotivasi untuk lebih banyak menyumbang kepada kemajuan Universiti pada masa akan datang.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032

2019-01-28T11:13:57+00:00