NILAI, 31 OKTOBER 2019 – Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) 2019 anjuran Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akdemik (QAPEX) tahun ini mengetengahkan tema ‘Semarakkan Inovasi, Lestarikan Kualiti’ dalam usaha menyeru Warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendokong pembudayaan kualiti dan inovasi dalam meningkatkan prestasi perkhidmatan.

Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata pengukuhan nilai etika dan integriti dalam kalangan warga USIM adalah penting untuk memastikan kecemerlangan yang dicapai seiring dengan nilai-nilai moral yang beretika.

“Warga USIM seharusnya prihatin kepada usaha yang berterusan ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti di PTj masing-masing. Penganjuran Hari Kualiti sebagai peringatan kepada kita bagi memastikan komitmen berterusan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih sempurna melalui perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti,” ucap Naib Canselor dalam Majlis Penutup HKI 2019.

Tambahnya lagi Warga USIM perlu membuat anjakan paradigma kepada budaya kerja yang lebih kreatif, inovatif serta berdaya saing untuk lebih terkehadapan dalam memperkasakan sistem penyampaian. Beliau menekankan aspek ‘5P’ untuk diaplikasi dalam menjalankan perkhidmatan bagi membina amalan kerja yang lebih bermutu dan menambah baik prestasi iaitu purpose, passion, product, productivity dan profit. Penekanan tersebut di terjemah bersama kesatuan amalan baik seperti integriti serta pelaksanaan kerja sebagai satu ibadah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Pada majlis tersebut, beliau hadir menyampaikan hadiah kepada kumpulan pemenang yang menyertai Pertandingan Idea Kreatif dan Pertandingan The Amazing Race. Pertandingan Idea Kreatif telah disertai sebanyak 11 kumpulan menyaksikan Kumpulan IQRA’ mendapat tempat pertama yang membawa pulang wang tunai bernilai RM500. Kumpulan IQRA’ memperkenalkan idea inovasi Smart Step Tool yang membolehkan kakitangan dan pengguna yang mempunyai ketinggian kurang daripada 150cm mendapatkan bahan monograf di aras rak paling atas. Kumpulan USEDECO mendapat tempat kedua menerima wang tunai bernilai RM300 mempertandingkan idea ekorasi barang terpakai untuk di jadikan set hiasan dalam konteks edible garden. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Ukhwah bagi idea bertajuk Usrah-PBL as a Teaching Learning Method.

Pertandingan Amazing Race pula telah menerima sebanyak 23 penyertaan kumpulan menyaksikan Kumpulan OK BOLEH! dari Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) mendapat tempat pertama yang menerima hadiah bernilai RM1,000, Kumpulan Qalburace mendapat tempat kedua dan membawa hadiah RM700 manakala tempat ketiga dimenang oleh kumpulan Running Girl dari Bendahari yang membawa wang tunai bernilai RM500. Dianggarkan seramai 170 peserta menyertai pertandingan yang dijalankan bermula 30 Oktober.

Turut hadir pada majlis penutupan adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg. Prof. Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani serta Pengurusan Universiti.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan