Nilai 24 September 2022 – Bersempena dengan Lawatan Kerja Ke Pejabat Undang-Undang UniSZA dan UMT pada 25 September 2022, JUU telah mengambil kesempatan dengan mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) ke Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Baitul Sakinah, Terengganu (PKPBS).

Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Baitul Sakinah Terengganu merupakan satu badan kebajikan dan pendidikan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan sejak tahun 2008. Di bawah naungan PKPBS, terdapat anak-anak yatim/piatu, anak-anak yang memerlukan perlindungan, anak-anak yang ibubapa mereka terpisah serta anak-anak dari keluarga bermasalah dan miskin. Premis Pertubuhan ini menempatkan kanak-kanak yang berusia dari 4 bulan hingga 6 tahun yang terdiri dari kalangan anak-anak yatim dan asnaf.

Objektif USR ini adalah bagi menjalankan tanggungjawab JUU terhadap USIM sebagai institusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap keperluan komuniti, mewujudkan rasa kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam kalangan staf JUU untuk membantu masyarakat secara sukarela, membina imej JUU yang dinamik dan prihatin serta meraikan dan memberi sumbangan kepada kumpulan sasaran.

Bagi program USR ini, JUU telah mendapat penajaan dari 2 syarikat yang terkenal iaitu Lotus’s Malaysia Cawangan Nilai dan McDonald Malaysia cawangan Kuala Terengganu. Pihak Lotus’s telah menyumbang barangan seperti Pampers, Susu Tepung, Milo, Biskut dan lain-lain manakala McDonald menyediakan hidangan ringan Happy Meal untuk anak-anak yatim di PPKPBS.

Dalam program tersebut, anak-anak yatim dihiburkan dengan senaman ringkas dengan diiringan oleh lagu-lagu kanak-kanak serta aktiviti membuat origami. Anak-anak yatim yang berumur 4-6 tahun lelaki & perempuan begitu aktif, riang, ceria, gembira dan sangat manja dengan staf-staf JUU serta seronok menyertai aktiviti-aktiviti yang telah disediakan untuk mereka.

Di akhir program tersebut, JUU telah menyampaikan sumbangan dari pihak Lotus’s Nilai dan cenderahati kepada pihak pengurusan PKPBS serta anak-anak yatim telah dijamu dengan hidangan dari pihak McDonald Malaysia cawangan Kuala Terengganu.

Program USR ini begitu bermakna, menyentuh perasaan dan amat berharga buat staf JUU yang mana anak-anak yatim ini begitu mesra, comel dan perlukan kasih sayang dari keluarga. Ianya juga dapat memberi rasa keinsafan dan bertanggungjawab untuk semua staf betapa kasih sayang dan keperluan kehidupan harian amat seiring dan memerlukan pengorbanan dan perhatian semua pihak.

Disediakan oleh:
Hamizah Hashim
Pembantu Tadbir Kanan