NILAI, 21 JUN 2019 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1440H peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini menerima kunjungan tetamu seramai kira-kira 3,000 orang yang dianjurkan bertempat di Dataran Canselori. Majlis diserikan dengan kehadiran DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis bersama Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro Canselor USIM.

Selain kehadiran kakitangan dan pelajar USIM, turut hadir bersama memeriahkan majlis adalah Duta Besar Palestin dan Turki serta Perwakilan Diplomatik daripada Kedutaan Yaman, Turki, UAE dan Singapura selain rakan-rakan strategik dari pelbagai industri antaranya McDonalds Malaysia, Kumpulan Summit Hotels & Resort dan Permodalan Nasional Berhad dan lain-lain.

“Sambutan hari raya tahun ini menampilkan kelainan berbanding penganjuran sebelumnya. Selain tahun ini genap 19 tahun penubuhan USIM, sambutan kali ini turut merakam kenangan acara ringkas memotong kek bersempena Keputeraan Tuanku Canselor USIM pada 19 Jun lalu. Tambahan, kehadiran pelajar-pelajar menunjukkan kebersamaan warga USIM selain kehadiran rakan strategik dari pelbagai industri diharap dapat mewujudkan hubungan lebih baik pada masa akan datang,” ucap YBhg. Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

YBhg. Dato’ Dr Musa turut berkongsi aspirasi USIM untuk menjadi pusat rujukan global dalam menerajui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (iNAQ) menjelang tahun 2025, memfokuskan iNAQ sebagai satu strategi kepada USIM untuk berada setanding dengan universiti lain di peringkat antarabangsa.

Pada majlis ini turut disampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri iaitu wakil daripada Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Unit Kenderaan, Pusat Islam dan turut menerima sumbangan adalah Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) yang diwakili oleh En Arfi Ahmad selaku Pengerusi.

Pemberian sumbangan kepada MANIS sebagai merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala kerjasama yang telah diberikan oleh pengamal media khususnya di Negeri Sembilan dalam memberikan publisiti dan promosi kepada universiti melalui liputan di media massa. Tambahan, sumbangan bagi menyokong usaha MANIS untuk menjayakan aktiviti kelab pada masa akan datang.

Turut hadir di majlis sambutan Aidilfitri adalah SUK Negeri Sembilan, Dato Dr. Razali Ab. Malik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Hj. Husin merupakan Mantan Naib Canselor juga merupakan Mantan Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Ahli LPU antaranya Dato’ Idris Kechot, Dato’ Dr. Nik Nasri Nik Ismail, En Hariri Daud, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, pengamal media, badan bukan kerajaan (NGO), wakil Persatuan Kebajikan Penduduk Nilai, wakil Masjid Dato Klana Petra, serta jemputan pelajar sekolah.

Majlis sambutan kali ini anjuran bersama Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dengan Badan Kebajikan Kakitangan (BKK) USIM menyediakan sebanyak 23 gerai dengan lebih 50 juadah bertemakan makanan tradisi hari raya antaranya lemang, ketupat, nasi ambeng, menu barat (makaroni, spaghetti) dan menu timur tengah (kebab, shawarma), aneka kuih-muih, pencuci mulut serta minuman. Dianggarkan lebih 20 khemah dihias mewakili gabungan semua jabatan di USIM serta kesemua tetamu hadir lengkap berpakaian bertemakan hari raya.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan