NILAI, 2 JULAI 2020 – Secara umumnya, tanggungjawab sosial universiti atau University Social Responsibility (USR) merupakan satu tindakan yang wujud dari perasaan tanggungjawab sebuah organisasi terhadap masyarakat di mana organisasi tersebut ingin melakukan atau memberikan sumbangan berbentuk material atau bukan material yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sejagat.

Bagi tahun 2020, Jabatan Undang-Undang (JUU) telah mengambil inisiatif untuk menyantuni golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Seremban. Program USR ini akan dinamakan sebagai ‘Program Tautan Kasih’ yang mana Pusat Kebajikan ini menempatkan seramai 25 orang kanak-kanak yang berumur di dalam lingkungan 2 tahun hingga 18 tahun. Untuk program USR pada kali ini, JUU telah bekerjasama dengan jabatan/ organisasi lain dari dalam dan luar USIM. JUU amat berterima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan oleh Pusat Pemasaran Kemasukan Pelajar USIM, Pusat Libatsama Masyarakat & Jaringan Industri USIM, Mcdonalds cawangan Forest Heights dan Luqnuha Resources.

Berikutan dengan penularan wabak Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan oleh Majlis Keselamatan Negara, aktiviti menyantuni Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Seremban hanya dihadkan kepada penghantaran bantuan barangan keperluan sahaja.

Di antara objektif bagi menjayakan program tersebut ialah:  

  • Dapat mewujudkan organisasi yang lebih bertimbang rasa terhadap keperluan masyarakat sekeliling.
  • Nasib golongan kurang berkemampuan/tidak bernasib baik akan lebih terbela melalui pelbagai bentuk bantuan yang diberikan oleh institusi korporat/organisasi sama ada berbentuk bantuan kewangan, tenaga mahupun bantuan yang berbentuk bukan material.

Diharapkan program amal seperti program yang telah dinyatakan dapat diteruskan di masa akan datang bagi memupuk semangat muhibbah di antara sesama manusia tanpa mengira kaum dan batas sempadan.

Disediakan oleh:
AHMAD NAKHAIE MOHAMED MUSTAFA
Jabatan Undang-Undang