NILAI, 26 OGOS 2019 – Jabatan Undang – Undang (JUU) telah melaksanakan Seminar Pentadbiran Kontrak Pembangunan: Kelambatan Kerja & Lanjutan Masa Serta Perubahan Kerja dengan jayanya yang bermula pada 23 hingga 25 Ogos 2019 yang bertempat di Kinrara Resort, Puchong Selangor.

Seminar  ini adalah selaras dengan hasrat JUU untuk memberi kefahaman kepada pegawai-pegawai Universiti Awam (UA), khususnya pegawai undang-undang, pegawai pembangunan dan pegawai Bursar, selain pegawai agensi kerajaan/swasta yang berkaitan, tentang isu-isu dalam kontrak pembinaan yang kerapkali berbangkit/menjadi masalah di organisasi masing-masing.

  • Objektif seminar:-

 

  1. Memberi pendedahan mengenai kepentingan perundangan di dalam pelaksanaan kontrak pembinaan serta implikasi undang-undang yang berkaitan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan kontrak.
  2. Memberi kefahaman kepada peserta mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab Pegawai Penguasa serta proses dan prosedur berhubung kelambatan dan lanjutan masa dan perubahan kerja, selain membincangkan isu-isu berkaitan yang sering berbangkit.
  3. Menyediakan platform untuk para peserta mengutarakan permasalahan mereka yang berkaitan dengan kontrak pembinaan dari segi undang-undang dan mencadangkan penyelesaian/solusi yang bersesuaian.

Seminar ini wajar diadakan oleh kerana ramai dari kalangan pegawai Universiti (terutama pegawai baru) yang masih tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang kontrak pembinaan. Kes-kes pembinaan yang difailkan di mahkamah oleh kontraktor/Universiti memerlukan pegawai yang mahir dan memahami isi kandungan kontrak. Aspek pentadbiran kontrak pembinaan yang cemerlang juga dapat mengelakkan Universiti dari disaman atau dipertikai oleh pihak kontraktor. Justeru, universiti perlu menyediakan platform bagi memberi kefahaman undang-undang serta penerangan proses kerja/prosedur yang betul dalam pelaksanaan kontrak pembinaan.

 

Disediakan oleh:
AHMAD NAKHAIE MOHAMED MUSTAFA
Jabatan Undang-Undang