NILAI, 30 SEPTEMBER 2019 – Hasrat menyemai rasa bangga menjadi warganegara Malaysia diterjemah melalui penganjuran program-program menarik sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Naib Canselor USIM yang merasmikan Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan 2019 berkata penglibatan pelbagai lapisan umur dan jabatan dalam perbarisan dan perarakan menunjukkan semangat patriotisme dan nationalism dalam kalangan warga USIM yang tidak pernah luntur.

“Erti kemerdekaan bukan sekadar laungan “Merdeka” tetapi memahami, menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan harian, itulah yang lebih bermakna,” ucapnya.

“Menyokong tema bulan kebangsaan tahun ini, “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” yang menekankan semangat perpaduan serta cintakan negara, sebagai warganegara kita seharusnya berasa bertuah menduduki negara yang berdaulat dan merdeka ini,” tambahnya.

Menurutnya lagi, kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman serta sejahtera yang dikecapi selepas kemerdekaan merupakan nikmat yang tidak ternilai untuk mendapatkan kehidupan lebih selesa.

Justeru, beliau menyarankan supaya warga USIM menghargai keamanan dan kemakmuran dikecapi dengan mengamalkan sikap toleransi dalam hubungan antara kaum selain menjauhi anasir-anasir yang boleh memecah-belahkan perpaduan yang dibina sekian lama.

“Belajarlah daripada sejarah dan hargailah seni warisan budaya kita agar nilai jati diri kita tetap utuh sehingga kita mampu membina sebuah bangsa yang disegani dan dihormati,” ucapnya lagi.

Dalam majlis yang sama berlangsung Forum Bulan Kebangsaan bersama Wira Negara, YBhg Tan Sri Dato’ JJ Raj, 98 tahun, Mantan Ketua Polis Daerah Pagoh dan YBhg Dato’ Wong Pui Lam, 77 tahun, Pesara Pegawai Kanan PDRM yang berkongsi pengalaman dan sejarah berharga semasa mereka berhadapan dengan ancaman komunis sebelum mengecapi kemerdekaan negara.

Majlis yang juga dihadiri Pengurusan Tertinggi Universiti meraikan kontinjen perarakan yang mendapat tempat pertama iaitu Jabatan Pendaftar, tempat kedua oleh Jabatan Bendahari manakala tempat ketiga adalah gabungan PTJ daripada Tamhidi, IFFAH, ISI dan PPT. Bagi kontinjen bagi kategori pelajar, SMAP LABU menjadi juara diikuti SMK Desa Cempaka manakala tempat ketiga dimenangi oleh Sek Men Agama Nilai.

Disediakan :
SYAZLYNA JAMIL
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan